Khamis, 20 Mac 2008

Mari Berkenalan Dengan Nabi Kita

Mari Mengenal Baginda Rasulullah SAW.
Apakah kita benar-benar mengenal Nabi Muhammad SAW,
iaitu mengenal secara lahir dan batin, jasmani,
maknawi dan rohaninya?
Atau kita hanya mengenal secara lahirnya saja,
tidak lebih dari itu?
Atau mengenal secara rambang saja?

Sebenarnya kalau manusia mengenal peribadi Nabi Muhammad SAW
secara lahir dan batin, jasmani, rohaniahnya,
pasti manusia jatuh hati kepadanya,
Kita akan cinta, menyebut selalu namanya, melalui selawat
dan ingatan terhadapnya,
Kita akan terasa terhutang budi kepadanya,
kerana kedatangannya dan jasanya kepada dunia,

Baginda Rasulullah Nabi Muhammad SAW seorang manusia yang istimewa,
luar biasa yang tiada taranya,
Dia adalah manusia yang paling mulia disisi Allah Taala,
Mari kita bercerita tentangnya secara ringkas agar
kita mengenal Nabi kita sendiri, siapa dia yang sebenarnya?


Dia adalah Sayidina Muhammad bin Abdullah, ibunya Aminah,
Bangsa Quraisy dari Bani Hasyim,
Nasabnya sampai kepada Nabi Ibrahim,
Dia adalah anak yatim piatu,
Seorang anak yang tidak pernah dapat bermanja
dengan ibu bapanya seperti orang lain,
Dia lahir dari keluarga yang miskin dan dipelihara oleh
keluarga yang miskin,

Dia adalah makhluk yang pertama dan utama yang paling dicintai oleh Tuhan,
Iaitu yang diberi nama Nur Muhammad,
Dari Nur Muhammad itulah seluruh yang ada dicipta dan diwujudkan.
Syurga, Neraka, dunia,
Akhirat, para malaikat, Arasy, Kursi, Syirat, manusia, jin, haiwan,
jamadat dan lain-lainnya,
kalau bukan karena Nabi Muhammad SAW, tidak akan diwujudkan,

Kalau begitu, rupanya Nabi kita membawa rahmat lahir dan batin
kepada semua makhluk Tuhan.
Dia adalah makhluk yang awal wujud nisbah roh,
yang akhir nisbah jasad dikalangan para nab,
Dia adalah satu-satunya
Nabi yang diisrakkan dan dimikrajkan,
Mukanya laksana bulan purnama karena cahayanya yang terang,

Dia hamba Allah yang paling bertaqwa dan paling takut dengan Tuhan,
Kerana itulah dia dipanggil Habibullah oleh Allah,
ketua seluruh para rasul dan para anbiya,
penghulu seluruh orang yang bertaqwa, imam seluruh manusia.
Syariatnya untuk seluruh jin dan manusia dan penutup
seluruh syariat,
Orang yang memberi syafaatul kubra di Akhirat dan
orang yang pertama masuk Syurga,


Al Quran kitab yang diturunkan kepadanya paling lengkap,
Merupakan mukjizatnya yang kekal dan paling agung,
Tiada siapa yang dapat menirunya,
Dia memiliki ilmu dunia dan Akhirat, sekalipun dia tidak
menulis dan membaca,
Nabi kita mempunyai akhlak yang paling mulia yang
tiada taranya,
Bahkan lebih mulia daripada para malaikat,
Terutama kasih sayangnya kepada manusia begitu nyata sekali,
Tawadhuknya atau merendah diri, pakaian peribadinya,
Kerana itulah dia sanggup duduk,makan, minum, tidur,
baring dengan fakir miskin, menziarahi orang
sakit dan mengiringi jenazah,
Tiada seorang pun yang melihat mukanya
melainkan jatuh cinta kepadanya,
Bahkan macam orang mabuk tidak akan melupakannya,
Sangat kasih dan simpati dengan fakir miskin, anak-anak
yatim dan janda-janda,
Pemurahnya laksana angin kencang yang sangat lajunya,
Orang yang bergaul dengannya macam-macam dapat dirasa,

Adakalanya laksana ibu dan ayah,
adakalanya macam kawan yang membeladan setia,
adakalanya dirasakan guru,
adakalanya bagaikan pemimpin,
dan adakalanya juga bagaikan ketua tentara,
Setiap orang yang semajlis
dengannya merasakan dapat layanannya yang memuaskan darinya,
Kerana akhlaknya yang tinggi, dia dapat pujian daripada Tuhannya,
Keberaniannya luar biasa,
Dia sanggup berjalan di hadapan musuh-musuhnya seorang diri,
tidak sedikit pun takut dengan raja-raja,
Setiap orang yang meminta, tidak pernah dikecewakan,
sekalipun terpaksa berhutang dengan manusia,

Ibadahnya banyak sekali, terutama solat hingga
bengkak-bengkak kakinya kerana begitu lama
berdiri di hadapan Tuhannya,
Tidak pernah mendoakan
musuh-musuhnya dengan kejahatan,

Sangat suka meminta maaf dan memberi
maaf kepada sesiapa saja,
Dia membalas kejahatan orang dengan
kebaikan, satu perbuatan yang luar biasa,
Tidak pernah menghina,
mencaci dan merendah-rendahkan orang lain,
Sangat pemalu dan merendah dir,
Sangat menerima keuzuran orang,
Sangat tahan menerima ujian yang
berbagai-bagai keadaan dan bermacam-macam bentuknya,
Karena itulah dia dapat menjadi ketua Ulul Azmi
dari keseluruhan para rasul `alaihimusshalatu wasallam,
Dia suka kepada seseorang kerana Allah dan
murka juga kerana Allah,


Hatinya begitu jaga,
matanya saja yang tidur tapi hatinya tidak tidur,
Kerana itulah dia tidur tidak membatalkan wudhuknya.
Di dalam hidupnya 74 kali berlaku peperangan 27 kali dia ikut sama
atau ikut serta, tapi pelik, dia tidak pernah
membunuh musuh-musuhnya walaupun seorang,
Anak-anak didikannya, itulah dia para Sahabat hingga dia berkata: "Sahabat-Sahabatku laksana bintang-bintang di langit,
yang mana satu yang kamu ikut, kamu akan mendapat petunjuk,
Para ulama umatku, laksana para-para nabi Bani Israil",
Julukan ini tidak didapati oleh umat-umat nabi sebelumnya.

Kerana menegakkan kebenaran,
pernah dilemparkan dengan najis,
dilempar dengan batu hingga berdarah,
dibuang daerah selama tiga tahun,
dikepung hendak dibunuh,
berhijrah meninggalkan tanah air dan mendapat
berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan,


Kemuliaannya di sisi Allah Taala begitu ketara dan nyata,
iaitu namanya digandingkan dengan nama Tuhannya,
yaitu di dalam dua kalimah syahadah,
Bahkan tidak sah Islam seseorang kalau tidak diucapkan
namanya bersama dengan nama Tuhannya,
Doa yang hendak dikabulkan, diawal dan akhirnya
hendaklah menyebut namanya,
Doanya sangat makbul,bahkan siapa yang berdoa,
bertawasul dengannya lebih diterima doanya,
Siapa yang banyak berselawat dengannya, diberi syafaat di Akhirat,
Siapa yang selalu menyebut namanya diturunkan rahmat dan berkat,

Mukjizat-mukjizatnya yang begitu banyak menunjukkan kebenarannya,
Tertulis di belikatnya khatamun nubuwwah,
Peluhnya bak mutiara,
wanginya lebih wangi daripada kasturi,
Orang tidak dapat menentang
matanya karena kehebatannya yang amat nyata di wajahnya,
Terutama musuh-musuhnya, pasti menundukkan pandangannya bila bertatap pandang dengannya,
Banyak perkara-perkara ghaib yang dibuka oleh Allah Taala
kepadanya, sehingga sebagian perkara-perkara yang belum terjadi,
seperti peristiwa akhir zaman dapat diceritakannya,

Begitu kuat tawakalnya kepada Allah Taala
hingga makanan yang berlebih tidak disimpan di malamnya,
bahkan diberikan kepada yang berhak.
Apabila dia buang air, tidak ada kesannya selepas membuangnya.
Lalat
tidak pernah hinggap pada badannya.
Kalau dia berpaling, dia berpaling dengan seluruh badannya.
Tidak pernah makan seorang diri melainkan berkawan.
Tidak pernah mencerca makanan.
Kalau dia tidak suka, dia tidak makan makanan itu.
Sangat menghormati dan memuliakan tetamunya.
Begitu menjaga hak-hak jirannya sekalipun orang kafir.
Lebih mengutamakan orang lain daripada dirinya sendiri.
Tidak pernah melaknat, sekalipun terhadap binatang.

Apa yang diperkatakannya, ibarat mutiara,
Kerana itulah sangat mempengaruhi orang yang mendengarnya,
Didikan dan pimpinannya sangat berjaya.
Di antara kesan didikan dan pimpinannya yang telah berlaku
yang telah dicatat dalam sejarah,
dapat melahirkan manusia yang sangat
mencintai dan menakuti Allah Taala.
Bahkan Tuhan dijadikan idola mereka.
Dapat menyatupadukan manusia yang berbagai-bagai etnik, puak,
kaum, bangsa dan yang berlainan warna kulit, bahasa dan budaya,
Bahkan dapat menanamkan kasih sayang
satu sama lain di kalangan manusia,
Melahirkan manusia yang begitu taat dan patuh kepada syariat Tuhannya,
Berjaya melahirkan manusia yang tinggi akhlak dan moralnya,
Mampu menjadikan dunia bersih daripada noda dan dosa,
Berjaya menjadikan setiap orang rasa berpuas hati
di bawah naungan pimpinannya, sekalipun yang bukan Islam,
Mereka merasakan dia adalah pelindung dan penyelamat
kepada seluruh makhluk, sekalipun binatang,


Itulah dia Muhammad Rasulullah SAW,
Itulah dia nabi kita, manusia luar biasa, yang istimewa,
yang kejadian dan akhlaknya paling sempurna,
tidak ada tandingannya,
Baru sedikit saja kita ceritakan tentangnya,
sudah mengagumkan kita,
Apakah peribadi yang semacam ini kita tidak
jatuh hati kepadanya?
Apakah manusia seumpama ini kita bisa melupakan
begitu saja?
Apakah kita tidak terasa, dia adalah manusia yang begitu
berjasa kepada seluruh manusia?
Apakah kita tidak terasa terhutang
budi kepadanya?
Bahkan patut bersyukur kepadanya sepanjang masa,
Bolehkah kita samakan dia dengan pemimpin-pemimpin yang lain di dunia?
Jauh panggang dari api, macam langit dengan bumi,

Lantaran itulah, orang yang benar-benar mengenal Nabinya
bersama Tuhannya, sanggup mati kerananya,
Patut sangatlah dia menjadi idola dan ikutan kita,
agar kita menjadi satu bangsa yang bertuhan, merdeka,
bersatu, berakhlak mulia, bertamadun, berkasih sayang,
bertolong bantu, berharmoni, bermaruah, bersih dari noda dan dosa,
Allah dan Akhirat menjadi matlamat hidup kita.

Tiada ulasan: