Ahad, 30 Disember 2007

Nabi kita Model Kecintaan

Untuk keamanan,kebahagiaan dan kedamaian hidup di dunia dan Akhirat, manusia perlu model atau contoh untuk diikuti. Justeru manusia, walaupun telah ALLAH bekalkan fitrah ingin mencintai dan dicintai tidak akan dapat melakukannya dengan sempurna jika tidak ada contoh. Begitulah rahmat dan kasih sayang ALLAH.Sentiasa menunjukkan jalan-jalan keselamatan buat hamba- hamba-Nya. Tinggal lagi apakah manusia itu mahu atan tidak mahu mencontohinya, itu sahaja.

Maka atas dasar itu dengan rahmat ALLAH, Dia telah mengutuskan seorang manusia bernama Muhammad binAbdullah sebagai Rasul-Nya di atas muka bumi ini 1400 tahun yang lampau. ALLAH telah lengkapkan Rasul itu dengan sifat yang sempurna lahir dan batin. ALLAH telah memelihara peribadinya daripada sebarang kesalahan dan cacat-cela, agar dia menjadi contoh yang agung kepada manusia lain.

Dengan segala pemeliharaan itu maka jadilah Rasulullah SAW manusia yang paling tinggi akhlaknya. Sama ada akhlak dengan ALLAH mahupun akhlak sesama manusia.

Oleh itu tidak hairanlah jika ALLAH sendiri memuji Rasulullah SAW dalam Al Quran dengan firman-Nya:
"Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat agung." (Al Qalam: 4)

Al hasil, terbentuklah Rasulullah SAW itu sebagai insan kamil yang menjadi lambang segala kebaikan. Nabi Muhammadlah manusia yang paling sempurna. Seluruh himpunan sifat baik telah dipakaikan oleh ALLAH pada diri Rasulullah SAW. Itulah gambaran betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW kepada seluruh makhluk.Bukan sahaja kepada manusia bahkan juga kepada binatang. Bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam. Maka atas dasar itulah ALLAH SWT telah menegaskan dalam Al Quran bahawa kedatangan Rasulullah SAW itu adalah sebagai pembawa rahmat.

Firman ALLAH:
" Dan tidak Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk rahmat kepada sekalian alam." (Al Anbia: 107) .

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:
"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak manusia." (Riwayat Malik)

Di sini saya hanya ingin menggambarkan tentang kasih sayang, iaitu satu aspek daripada akhlak Rasulullah SAW yang sangat perlu untuk manusia. Setidak-tidaknya untuk keselamatan mereka di dunia walaupun tidak di Akhirat. Kasih sayang Rasulullah SAW terhadap manusia tidak ada tandingannya. Mari kita lihat bukti bagaimana dan betapa kasih sayang Rasulullah SAW melalui dua sudut.

Pertama, di sudut ilmu (ilmiah) .

Jika kita membaca Al' Quran dan meneliti Hadis Rasulullah SAW, maka kita akan dapati betapa Rasulullah SAW itu sangat pengasih sekalipun kepada anak kecil ataupun binatang.

Di antara ayat Quran yang menunjukkan betapa tingginya rasa kasih Rasulullah SAW itu ialah sewaktu ALLAH SWT berfirman:
"Telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin." (At Taubah: 128)

Dalam ayat yang lain ALLAH SWT telah berfirman:
"Maka dengan rahmat ALLAH-lah kamu dapat berlaku lemah-lembut dan kasih sayang pada mereka. "(Ali Imran: 159 )

Allah berfirman lagi:
"Dan jikalau kamu berkasar dan berkeras hati nescaya mereka akan menjauhkan diri darimu. "(Ali Imran: 159)

Di antara Hadis yang menunjukkan betapa besarnya kasih sayang Rasulullah SAW ialah:
"Barang siapa yang tidak mengasihi manusia, dia tidak dikasihi ALLAH. "(Riwayat At Termizi)

" Kasihilah siapa sahaja yang ada di bumi nescaya akan mengasihi kamu siapa-siapa sahaja (malaikat) yang di langit." (Riwayat Abu Daud)

" Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia (termasuk meratakan kasih sayang).
Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya (kasih sayang kepada orang lain)." (Riwayat At Tabrani)

" Berbaktilah kepada kedua ibu bapa kamu, maka akan. berbakti anak-anak kamu kepada kamu (termasuk memberi kasih sayang)." (Riwayat Al Hakim)

"Sesungguhnya orang yang paling hampir dengan tempatku di kalangan kamu ialah yang paling cantik akhlaknya, mereka menghormati orang lain dan mereka senang bermesra dan dimesrai.
Orang Mukmin itu ialah yang mudah mesra dan dimesrai, dan tiada kebaikan pada mereka yang tidak boleh bermesra dan dimesrai. Dan sebaik-baik manusia ialah yang banyak memberi manfaat kepada manusia." (Riwayat Al Hakim dan Al Baihaqi)

" Sesiapa yang tidak mengasihi orang kecil kami, sedangkan dia tabu kewajipan sebagai orang besar kami maka bukanlah dia dari golongan kami." (Riwayat Al Bukhari)

" Siapa yang berbuat baik (beri kasih sayang) kepada anak yatim lelaki atau perempuan, adalah aku dan dia di dalam Syurga seperti dua ini (ditunjukkan dua jarinya yang dirapatkan)." (Riwayat Al Hakim)

"Sesungguhnya di kalangan kamu yang lebih dikasihi ALLAH ialah mereka yang senang bermesra dan dimesrai. Sebaliknya yang paling dibenci ALLAH ialah mereka yang suka menabur fitnah dan memecahbelahkan persaudaraan."

Kedua, di sudut praktikal iaitu kasih sayang Rasulullah SAW dalam realiti hidupnya.

Banyak kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.

Antaranya:

1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.

2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.

3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, "Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?" Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, "Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi."

4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, "Ke mana perginya si polan si polan itu..."

5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya."

6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, "Biarkan dia menyelesaikan hajatnya..." Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.

7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, "Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya." Malaikat menjawab: "Tuan benar." Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: "Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui."

8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.

9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.

10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, "Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?"

Rasulullah SAW spontan menjawab, "ALLAH!"

Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.

Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, "Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?"

Da`thur tergamam dan menjawab, "Tiada siapa."

Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).

11. Rasulullah SAW sangat penyayang dengan anak-anaknya dan bertimbangrasa dengan isteri-isterinya. Pada kesilapan isteri-isterinya, baginda selalu memberi maaf. Baginda juga membantu kerja-kerja rumah dan menampung jubah dan kasutnya sendiri.

12. Rasulullah SAW selalu berjalan dengan fakir miskin dan sering menziarahi janda-janda, bertanya akan keperluan hidup mereka. Bahkan dengan orang-orang miskin dan melarat, baginda selalu duduk bersama mereka, berbual, makan minum dan bermesra dengan mereka.

13. Pernah di satu pagi Hari Raya, Rasulullah SAW bertemu seorang kanak-kanak yang menangis di tepi jalan. Baginda terharu dan bertanya, "Mengapa engkau menangis?" Kanak-kanak tersebut menjawab, "Ayah saya telah mati syahid sementara ibu saya sudah berkahwin lain. Nasib saya terbiar dan saya tidak ada baju barn dan lain-lain persediaan untuk berhari raya." Rasulullah SAW mengalirkan air mata mengenangkan nasib kanak-kanak tersebut. Baginda berkata: "Sukakah kamu kalau aku menjadi ayahmu dan Aisyah (isteri Rasulullah) menjadi ibumu?" Sungguh tidak terkira gembiranya rasa hati kanak-kanak itu, bila mendengar Rasulullah SAW yang mulia menjadi ayahnya. Baginda pun membawa pulang kanak-kanak tersebut ke rumahnya. Kanak-kanak itu dimandikan, dipakaikan dengan baju raya dan dijamu makan. Betapa gembiranya hati kanak-kanak itu, begitulah gembiranya hati Rasulullah SAW kerana dapat menggembirakannya.

14. Pada ketika yang lain, dalam perjalanan menuju ke pasar, Rasulullah SAW melihat seorang budak (hamba sahaya) sedang menangis di tepi jalan. Bila baginda tanyakan mengapa menangis, budak itu menjawab bahawa dia menangis kerana duit yang diberi oleh tuannya telah hilang. Rasulullah SAW terus mengganti duit yang hilang itu dengan duit baginda sendiri. Tetapi apabila baginda balik dari pasar, dilihatnya budak yang sama masih menangis. "Kenapa kamu masih menangis?" tanya Rasulullah SAW. "Kali ini saya menangis kerana takut dimarahi dan dipukul oleh tuan saya kerana saya sudah terlambat pulang dan pasar," jawab budak itu.

Untuk mengelakkan budak itu daripada dimarahi, Rasulullah SAW sendiri menemaninya pulang. Rupanya rumah itu dihuni oleh sekumpulan wanita. Rasulullah SAW terus memberi salam. Setelah tiga kali memberi salam, barulah salam Rasulullah SAW itu dijawab. Rasulullah SAW bertanya, "Apakah kamu tidak dengar salam saya sebelumnya?" Wanita-wanita itu menjawab, "Kami dengar, tetapi sengaja kami tidak jawab supaya kami mendapat doa daripada Rasulullah SAW banyak kali..."

Rasulullah SAW terus menerangkan mengapa budak itu lambat. Baginda meminta supaya budak itu tidak dirotan, tetapi sekiranya mereka tidak puas hati, Rasulullah menawarkan dirinya sebagai ganti untuk dirotan. Lantas Rasulullah SAW menyingsing lengan bajunya. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, kumpulan wanita itu lantas berkata, " Tidak, ya Rasulullah. Mulai sekarang, kami merdekakanlah budak ini." Itulah kesan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

16. Rasulullah SAW berjiran dengan seorang Yahudi. Baginda sangat menjaga hak-hak jiran. Baginda tidak pernah melakukan sesuatu yang menyakiti hati jirannya malah baginda selalu menghadiahkan makanan dan lain-lain hadiah kepada jiran Yahudinya itu.

17. Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat tentang hak-hak kafir zimmi. Baginda bersabda: "Siapa yang menzalimi kafir zimmi walaupun orang Islam sayalah pembelanya (penebusnya)."

18. Rasulullah SAW juga sangat mengasihi binatang. Baginda melarang kanak-kanak menyeksa binatang. Untuk menyembelih binatang, Rasulullah SAW berpesan supaya menggunakan pisau yang tajam, agar binatang tersebutcepat mati dan tidak lama dalam kesakitan. Rasulullah SAW sering mengingatkan supaya unta-unta dan himar tidak dibebani oleh muatan yang berlebihan daripada apa yang sanggup ditanggung. Pernah seekor kucing tidur atas serban Rasulullah SAW. Maka baginda menggunting bahagian tempat kucing itu tidur di atasnya kerana tidak mahu mengejutkan kucing tersebut. Ketika dalam perjalanan dan Madinah ke Makkah di tahun kemenangan, Rasulullah melihat seekor anjing di tepi jalan. Anjing itu mengeluarkan suara seakan-akan membujuk anaknya yang sedang mengerumuninya untuk menyusu. Maka Rasulullah meminta seorang Sahabat untuk menjaga jangan sampai ada dan kalangan anggota rombongan baginda yang mengganggu anjing itu dan anak-anaknya. Ketika Rasulullah melihat seekor himar yang telah diberi tanda dengan besi panas di mukanya, baginda menentangnya dan melarang haiwan diberi tanda dan dipukul di mukanya.

19. Ketika Rasulullah meninggalkan kabilah Saqif, ada seorang lelaki yang memohon kepada beliau, "Wahai Rasulullah, berdoalah untuk kebinasaan mereka." Rasulullah berkata, "Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada kabilah Saqif dan bawalah mereka (ke jalan yang benar)."

20. Satu ketika Abu Zar keluar bersama hamba sahayanya yang berpakaian seperti apa yang beliau pakai, lalu ada orang bertanya, "Mengapa kamu berbuat demikian?" Abu Zar menjawab, beliau mendengar Rasulullah berkata: "Hamba sahaya itu adalah saudaramu, mereka di jadikan oleh ALLAH di bawah kekuasaanmu. Maka barangsiapa saudaranya di bawah kekuasaannya (di bawah jagaannya), hendaklah dia memberi makan dengan apa yang dia makan dan memberi pakaian dengan pakaian yang is pakai, dan janganlah hamba itu disuruh melakukan pekerjaan di luar batas kemampuannya. Apabila mereka diperintahkan bekerja maka bantulah mereka."

INILAH sebahagian daripada cerita-cerita sebagai bukti betapa pengasih dan pemaafnya Rasulullah SAW, model agung kecintaan yang paling unggul dan patut dicontohi oleh manusia sepanjang zaman. Cerita-cerita itu menunjukkan betapa kasih dan sayangnya Rasulullah SAW sama ada kepada manusia atau bintang, yang sepatutnya dicontohi oleh umat Islam lebih-lebih lagi oleh para ulamanya. Dan sepatutnya kasih sayang inilah yang diratakan di seluruh dunia kini. Malangnya hal ini tidak berlaku. Sudah tidak ada lagi kasih sayang, kedamaian dan suasana harmoni seumpama itu di dunia hari ini.

Jumaat, 7 Disember 2007

Kasih Sayang Yang Tepat


Hari ini, majoriti remaja rosak kerana mereka inginkan kebahagiaan, mahukan kasih sayang. Ada anak-anak yang rosak kerana tidak mendapatkan kasih sayang, jadi mereka hidup sangat terbiar, ada pula yang mendapatkan kasih sayang tapi secara salah, hingga merekapun rosak kerana kasih sayang telah diberi secara tidak tepat.

Fitrah semua manusia sama, diantaranya manusia inginkan kasih sayang. Bahkan kasih sayang itu lebih diperlukan daripada makan dan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kasih sayang merupakan makanan jiwa. Sesetengah orang, oleh kerana dia tidak kenal Tuhan, tidak cinta dan takut Tuhan, bila tidak mendapat kasih sayang, boleh jadi gila, kecewa dan putus asa. Namun orang yang cinta dan takut Tuhan, bila tidak dapat kasih sayang dari manusia tidak menjejaskan jiwanya.

Kerana kasih sayang itu diperlukan oleh kebanyakan manusia, maka para pendidik, guru-guru, pemimpin-pemimpin dan terutama ibubapa, perlu beri kasih sayang kepada anak-anaknya. Guru hendaklah memberi kasih sayang pada muridnya dan pemimpin mesti memberi kasih sayang kepada rakyatnya.

Walaupun begitu, bukan semua golongan ini pandai memberi kasih sayang. Memberi kasih sayang bukanlah satu hal yang mudah. Ianya perlu kepada ilmu dan pengalaman. Kadang-kadang bila tidak pandai memberi kasih sayang, orang yang menjadi sasaran itu rosak. Ibarat kita memberi makan pada anak-anak tanpa mengira makanan apa yang diberi, tidak ikut waktu atau disiplin, tidak kira ada zat atau tidak. Bila kita mahu memberinya, terus sahaja kita beri. Nampaknya seperti baik tetapi hasilnya anak itu dapat penyakit kronik dan serius seperti barah, kencing manis dan lain-lain. Untung sekarung, ruginya segunung. Niatnya baik tetapi hasilnya tidak baik. Begitulah niat baik orang yang hendak memberi kasih sayang pada seseorang itu, apabila tidak betul caranya, ia bukan lagi memberi manfaat. Memang kasih sayang itu, samada disedari atau tidak, ia ada hubungan dengan pendidikan.

Dalam memberi kasih sayang, ibubapa, para pemimpin, para pendidik tidak terlepas dari 3 faktor iaitu akal, nafsu dan perasaannya. Majoriti yang berlaku pada hari ini para pendidik, pemimpin, ibubapa memberi kasih sayang berdasarkan 3 faktor tersebut.

1. Kasih sayang diberi secara akal

Kasih sayang cara ini banyak dilakukan oleh orang intelek, yang ada kelulusan atau berpelajaran. Kerana dia sangat membesarkan akalnya, maka apapun yang dia hendak buat termasuk mendidik orang, dia rujuk kepada akal. Apa kata akal, itulah yang menjadi tindakannya. Contohnya, dia berfikir : “Orang yang saya hendak didik ini, kalau saya tidak beri kereta, payah hendak dididik. Nanti dia tidak sayang pada saya. Oleh itu untuk didik dia, saya akan beri kereta, pakaian dan lain-lain.” Inilah yang akan merosakkan. Lagipun mana mampu kita hendak melayan kehendak semua manusia. Dia ukur secara logik tapi merosakkan.

2. Kasih sayang diberi secara perasaan

Ada pula orang yang memberi kasih sayang dengan mengikut perasaannya kerana dia merujuk pada pengalamannya. Katalah dia sudah berpengalaman masa kecil dengan ibubapanya dulu, kalau tidak diberi pakaian, walaupun ada pakaian yang elok lagi, sakit hatinya, marah dengan mak ayah dan rasa ibubapa tak sayang dengannya. Perasaan itulah yang dia ikut bila dia menjadi ibu atau bapa. Bila dia dapat anak, dia terkenang sakit hatinya bila tidak dapat, maka dia beri anaknya pakaian. Walaupun dalam almari sudah ada 20 pasang baju. Bila anaknya minta pakaian, dia beri lagi. Dia fikir, “Kalau tidak diberi, nanti dia sedih macam aku sedih dulu.” Jadi diapun memberi pakaian untuk membuktikan pada anaknya bahawa dia sayangkan anaknya itu.

Dia fikir, kalau dia ikut perasaan seolah-olah anak-anaknya atau muridnya atau rakyatnya akan baik. Jadi orang ini, kalau dia pemimpin, dia berpendapat hendak didik, bangunkan masyarakat dan untuk dapat rakyat yang baik, kenalah dia banyak memberi. Dia fikir, “Dalam negara aku, mestilah aku bagi itu dan ini. Nanti rakyat akan taat dan baik, setia dan tidak akan lakukan jenayah.’ Akhirnya jangka panjang, makan diri pemimpin itu sendiri.

3. Kasih sayang diberi secara nafsu

Ini lagi bahaya karena memberi kasih sayang berpandukan nafsunya. Kalau hendak ambil hati anak, hati murid atau hati rakyat, dia rujuk pada nafsunya. Bagi ibu ayah, bila rangsangan nafsu hendak di apply kan maka kasih sayang tidak ada batas lagi. Dia beri apa sahaja yang dia rasa baik. Lebih-lebih lagi ibu dan ayah terhadap anak perempuannya. Ikut sahaja bisikan nafsunya dalam hal pergaulan. Tidak ada batas antara ayah dengan anak perempuannya. Maka dia senang sahaja masuk ke bilik tanpa peraturan dengan alasan itu anaknya. Tidak kira waktu itu anaknya sedang tidur. Begitu juga ibu terhadap anak lelakinya. Kononnya itulah cara hendak memberi kasih sayang pada anak itu supaya senang dididik. Walhal kaedah ini kalau diteruskan boleh jadi haruan makan anak atau anak makan ibu. Bila mendidik atau memberi kasih sayang tanpa batas, boleh berakhir pada kes sumbang muhram.

Tiga cara pemberian kasih sayang inilah yang telah dijalankan lebih kurang 700 tahun dahulu kepada umat Islam, hinggalah sekarang dan telah merosakkan anak-anak, murid dan rakyat. Bila senjata sudah makan tuan, cacing sudah naik ke mata, ibubapa menjerit, “Apa dah jadi dengan anak-anak!” Guru menjerit, “Mengapa murid sudah tidak taat. Kenapa murid jadi penjenayah dan perosak.” Pemimpin menjerit, “Apa dah jadi pada rakyatku?” Semua golongan sudah memekik dan menjerit, apa sudah jadi pada orang mereka. Itulah sebenarnya hasil perbuatan pendidikan mereka. Sudah diberi berbagai projekpun rakyat tetap tidak taat. Mereka tidak jumpa jalan keluar. Ini berlaku di seluruh dunia samada di negara Islam atau negara kafir. Kalau begitu, bagaimana cara yang tepat dalam memberi kasih sayang?

Cara Pemberian Kasih sayang yang tepat

Akal, perasaan dan nafsu tidak boleh menjadi sandaran dalam pemberian kasih sayang. Pendapat akal, kehendak atas dasar nafsu, kehendak atas dorongan perasaan, semua mesti ditapis oleh syariat. Setelah disahkan oleh syariat, itulah kaedah yang boleh dipakai. Walaupun begitu syariat pula mesti ditunjangi oleh iman. Sebab walaupun satu perkara itu benar berdasarkan syariat, tapi bila dalam mengamalkannya, Tuhan tidak disertakan bersama maka syariat sudah menjadi ideologi, jadi isme. Mana boleh ideologi itu membaiki manusia walaupun secara kebetulan ia sama dengan syariat Tuhan.

Bilamana Tuhan tidak dibawa bersama, yakni kalau syariat itu tidak dididik bersama pendidikan yang membesarkan dan mengagungkan Tuhan, manusia tidak akan boleh dididik. Kalau begitu dalam mendidik manusia ini, mesti dirujuk pada iman dan syariat Tuhan, rujuk pada Tuhan dan syariat-Nya . Begitu juga pemberian kasih sayang hanya boleh menyelamatkan bila perkara tersebut ditunjang oleh Iman dan syariat Tuhan .

Mungkin pada peringkat awal dengan kaedah ini, sesetengah golongan tidak merasa diberi kasih sayang tetapi sebenarnya jangka panjang baru dia akan dapat hasilnya. Jangka panjang barulah dia akan faham dan boleh terima bahawa apa yang dilakukan ibubapa, guru atau pemimpin itu membuahkan hasil yang baik. Dia akan rasakan itulah kasih sayang.

Peringkat awal mungkin dia rasa tersiksa dan terasa diikat oleh disiplin tetapi bila sudah cerdik, setelah dia mendapat faedah dari hasil didikan itu, barulah dia terfikir, rupanya bijak ibubapa atau guru atau pemimpin buat dia begitu. Cara pendidikan dengan iman dan syariat ini sebenarnya, buahnya tidak dirasa dalam jangka pendek. Tetapi jangka panjang, bila dia sudah dewasa dan sudah boleh berfikir, dia akan berkata, “Bijaknya orang-orang yang sudah mendidik aku hingga aku jadi begini.” Mereka akan merasakan kemuncak kasih sayang ibubapa, guru atau pemimpin itu adalah untuk selamatkan orang yang dididik itu dari Neraka. Hingga dapat masuk Syurga yang nikmatnya kekal abadi. Inilah pendidik yang baik, yang sangat memberi kasih sayang, yang mungkin tidak dapat dirasa peringkat awalnya.

Mendidik orang dengan nikmat dunia yang tidak kekal ini, tidak akan ke mana. Jangka pendek akan merosakkan dan jangka panjang nanti akan merugikan. Jangka pajang menyesal tidak sudah. Pemimpin, ibubapa atau guru yang mendidik dengan mengatakan dunia ini adalah segala-nya, nikmat dunia ini termasuk makan, minum, kenderaan dan rumah adalah segala-galanya, walaupun niatnya baik dan orang yang dididik cepat terasa, tetapi pada hakikatnya inilah para-para pendidik yang paling khianat pada bangsanya kerana untung seguni, rugi segunung. Orang yang dididik itu tidak terasa sebab hasilnya cepat. Dia fikir, “Baiknya ibubapa aku.” Bagi orang yang faham, dia akan kata ini pengkhianat bangsa. Bagi Allah dan Rasul, pendidik itu dianggap pengkhianat kepada amanah-amanah Allah.

Semoga dengan kembali mengambil Tuhan dan syariat sebagai rujukan bukan sahaja kerosakan lebih teruk akan dibendung, tapi juga semoga Tuhan segera campur tangan dalam menyelesaikan kerosakan yang berlaku di dunia sekarang ini. Amin.

Sabtu, 1 Disember 2007

Keajaiban Hati Manusia


Hati daging adalah sarang atau rumah bagi hati nurani
Hati nurani boleh juga dipanggil hati batin
Hati daging adalah bersifat lahir
Ia merupakan kajian para doktor perubatan
Hati nurani yang boleh juga dipanggil roh
Ia adalah merupakan bahan kajian para doktor kerohanian
Seperti para rasul, nabi-nabi, para wali dan ulama-ulama sufi
Perbahasan kita di sini adalah hati nurani atau roh
Kerana ia menjadi pandangan Tuhan
Apakah seseorang itu taat atau derhaka
Ia merupakan penentu apakah seseorang itu ke Syurga atau ke Neraka
Ia dianggap raja di dalam diri manusia
Baik raja diri maka baiklah seluruh anggota
Jika raja itu jahat maka jahatlah seluruh anggota
Kalau ia bersih daripada segala godaan mazmumah, mendapat kemenanganlah manusia
Sekiranya ia digoda oleh mazmumah, gagal dan kecewalah yang empunya diri
Sungguh ajaib hati di segi sifatnya dan rohaninya serta peranannya
Penuh rahsia, penuh misteri, jarang manusia dapat menyelaminya
Ia merupakan khazanah ilmu dan hikmah yang tersimpan
Yang datang daripada saluran-saluran jawarih insan
Seperti mata, telinga, tangan dan lain-lain anggota badan
Marilah seterusnya kita mengenal hati nurani
Dengan cara kita membuat perumpamaan-perumpamaan dan ibarat-ibarat
Sebagai pendekatan-pendekatan untuk mudah kita faham
Hati ibarat perigi atau kolam yang amat jernih
Dia akan terus jernih jika dijaga bahkan akan bertambah jernih jika dimasukkan tawas di dalamnya keruh kalau dibiarkan masu
Badan menjadi sihat dan segar jika diminum dan dibuat mandi
Tapi ia akan menjadi kotor atau k benda-benda yang mengotorkannya
Akan mendatangkan penyakit jika digunakan
Hati ibarat tanah yang subur, jika digemburkan bertambah subur
Boleh menumbuhkan berbagai-bagai jenis tanaman yang memberi faedah
Ia akan menjadi kemarau dan gersang
Tiada kehidupan yang boleh hidup
Yang tiada memberi apa-apa faedah kepada makhluk Tuhan

Thank You My God

Thank You my God, I thank you m... (more)

Thank You my God, I thank you my God
For giving me Your bountious blessings
Allowing me to worship You my God
You are Most Gracious and Most Merciful

Enabling me to talk to You oh God
Allowing me to seek from You
To praise and worship You
With all my heart and soul
Allowing me to appeal to You, oh God

But when I face You,
my heart is restless
Should I fail,
to be well mannered with You
And I start to worry,

Am I deceitful, In my worship to You
It's not Your blessing that I will get
But it's Your wrath, that I will receive
Ya Rabbal Alamin

Please forgive me....

Hiburan Yang Maha Agung


Tuhan adalah penghibur yang Maha Agung
Kalau kita faham Tuhan dan kerja-Nya serta ciptaan-Nya
Ia adalah penghibur manusia yang tidak ada taranya
Jika kita sadar bahawa Tuhan penghibur yang Maha Agung, kita jatuh hati kepada-Nya
Bahkan kita bercampur takut kepada-Nya
kalau hiburannya ditarik balik atau ditarik semula
Mari kita kaji bahawa Tuhan itu benar-benar Maha Penghibur manusia
Nafas turun naik oksigen kepunyaan-Nya, bukankah itu hiburan makhluk-Nya
Pijaklah bumi, bumi kepunyaan-Nya, tidakkah kita terhibur
Lihatlah ke langit, langit kepunyaan-Nya, bukankah itu hiburan juga
Lihatlah pemandangan yang hijau, sejuk mata memandangnya,
bukankah itu hiburan dari ciptaan Tuhan
Di waktu lapar kita makan nasi dan lauk rezeki dari Tuhan, itukan hiburan
Di waktu sakit kita disembuhkan-Nya, senang dan terhibur hati dibuatnya
Dijadikan-Nya malam dan siang, siang mencari rezeki dan ilmu,
bukankah itu hiburan dari Tuhan
Malam rehat setelah letih waktu siang hiburan juga namanya
Di waktu hendak bersenang-senang kita ada isteri atau suami dari anugerah Tuhan,
hiburan bukan?
Suami isteri tempat melepaskan rindu, dendam nikmat dari Tuhan, itu adalah hiburan
Di waktu musafir atau mengembara banyak jenis hiburan yang kita lihat atau
dapat atau rasa, hiburan dari Tuhan
Bahkan perkara yang negatif pun merupakan hiburan dari Tuhan kalau kita faham
Umpamanya sakit, miskin, kesusahan
Ia adalah penghapusan dosa atau derajat atau pahala di Syurga
Bukankah itu berita gembira dari Tuhan?
Ia adalah hiburan jangka panjang
Itu semuanya hiburan dari Tuhan di sudut aqidah
Di aspek syariat Tuhan, juga hiburan dari Tuhan
Ertinya syariat Tuhan atau disiplin hidup dari Tuhan adalah hiburan untuk insan
Mari kita lihat bahwa syariat Tuhan itu adalah penghibur manusia
Tuhan menyuruh memaafkan orang bersalah, yang bersalah meminta maaf,
bukankah itu satu hiburan
Siapa tidak terhibur jika diberi maaf atau orang meminta maaf
Syariat menyuruh orang miskin dibantu atau ditolong, bukankah itu hiburan
Berkawan hendaklah setia, utamakan kawan daripada diri sendiri, itu bukankah hiburan
Jiran disuruh hormati, tidak boleh disakiti, jiran disuruh buat sebagai keluarga sendiri
Bukankah itu hiburan untuk insan, siapa tidak suka?!
Syariat Tuhan menyuruh membuat baik kepada orang yang membuat jahat,
betapalah orang yang membuat baik
Itu adalah hiburan
Syariat menyuruh berkasih sayang, rasa bersama, berkerjasama, bertenggang rasa,
ini semuanya bersifat hiburan
Itu sebagai contoh yang mudah difahami, yang tidak disebut dikiaskan sahaja
akan dapat jawaban
Jelas kepada kita bahawa Tuhan adalah penghibur yang Maha Agung yang tiada taranya
Juga syariat-Nya membawa hiburan kepada manusia
Tetapi mengapa umat Islam berjuang menjadi kasar, ekstrim, membunuh?!
Mengapa umat Islam berjuang menyusahkan dan menakutkan orang?
Padahal Islam membawa kasih sayang
Ia adalah hiburan!
Di mana kita belajar? Hadis dan Al Quran tidak menyuruh demikian
Mengapa kita tersesat jalan, Islam adalah indah,
ia membawa hiburan kepada setiap insan, kafir mahupun Islam
Persembahkanlah Islam kepada manusia dengan kasih sayang dan khidmat
Kasih sayang dan khidmat adalah hiburan buat insan
Haraplah diambil ingatan.