Sabtu, 31 Mei 2008

Kuasa Tuhan Dalam Diri

idak payah kita memandang yang jauh
untuk melihat Qudrat dan kuasa Tuhan
Juga tidak perlu melihat yang jauh baru terasa
Maha Mentadbir dan Maha Bijaksana Tuhan
Kalau jiwa kita hidup dan jaga
Di dalam dirimu sendiri engkau akan merasakan
Qudrah, Iradah Tuhan
Pentadbiran dan BijaksanaNya
Tidakkah engkau sedar,
mana engkau ada kuasa terhadap dirimul

Adakalanya engkau hendak tidur mata tidak mahu
ada waktunya engkau tidak hendak tidur
tapi tidak dapat menahan tidur
Adakalanya berlaku di dalam dirimu setiap hari
gerak-gerimu berlaku tanpa engkau mahu
Bahkan adakalanya tanpa kesedaranmu
Contoh yang berlaku akalmu memikirkan sesuatu
Tapi dalam masa yang sama bergerak-gerak jarimu tanpa kehendakmu
Juga di masa itu juga bergerak-gerak matamu tanpa kehendakmu juga
Bukankah menunjukkan adanya kuasa yang melakukannya

Kalau kita ada kuasa
tentu sekali kehendak kita semuanya berlaku
Yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku
Tapi pengalaman kita tidak begitu
Ada yang kita kehendaki, berlaku
Ada yang kita kehendaki, tidak berlaku
Ada yang kita tidak hendak, ia berlaku
Yang kita hendak, tidak berlaku
Kerana itulah Tuhan ada berkata yang bermaksud:
"Di dalam diri kamu, mengapa kamu tidak merasa dengan mata hati,
iaitu adanya kuasa Tuhan
di dalam dirimu"

Buatlah Bersama Tuhan

Buatlah apa sahaja, biarlah bersama Tuhan,
Berniagalah dan carilah kehidupan sertakan Tuhan,
Laksanakanlah apa sahaja, jangan tinggalkan Tuhan
Tuhan hendaklah dibawa ke mana-mana
Tuhan sertakan di dalam perjuangan
Di dalam menuntut ilmu jangan lupa Tuhan
Tuhan adalah segala
Ia modal hidup mati kita
Ia aset yang kekal abadi
Yang memberi keuntungan dan kebahagiaan kepada kita

Tuhan kenalah ada di dalam sebarang hal dan keadaan
Jangan cuba tinggalkan, kita akan kecundang
Tuhan adalah harta yang bukan harta
Yang sangat diperlukan
Selain Tuhan, adalah harta
Yang tidak memberi jaminan
Tuhan adalah sangat diperlukan
Di dalam sebarang keadaan

Jangan tinggalkan Tuhan
Jika Tuhan sudah ditinggalkan
Sebarang kehidupan kita sudah tidak ada erti
apa di dalam kehidupan
Begitulah besarnya Tuhan
Di dalam kehidupan insan

Tuhan Cinta Agungku

Di segi ilmu tidak ada orang mempertikaikan wahai Tuhan
Engkau adalah Cinta Agung lebih patut dicintai
Engkau Cinta Agung diperkatakan orang
di atas mimbar-mimbar dan di majlis pengajian
Seruan selalu disarankan cintailah Tuhan
Engkaulah yang dimaksudkan
Aku tidak pasti apakah mereka yang berkata
dan menyarankan dapat merasakan
Tapi yang pasti Tuhan aku belum merasai
Sedangkan mencintai-Mu itu menyelesaikan segala masalah
Cinta pada-Mu adalah kenyang daripada segala yang mengenyangkan
Cinta pada-Mu adalah agung bahagia yang tiada taranya
Tenang daripada segala ketenangan
Senang daripada segala kesenangan
Cinta pada-Mu rindu yang tidak berkesudahan
Siapa merindui-Mu segala yang dirindui tidak ada erti lagi
Rindu kepada itu semua musnah sama sekali

Begitulah wahai Tuhan
Atas dasar ilmu aku akui
Tapi malang sekali aku belum merasai
Cintaku pada-Mu belum pun berbunga
Rindu dan asyik jauh sekali
Tuhan aku harap pada-Mu titiskan sedikit air cintaku pada-Mu
Jangan Engkau biarkan hatiku gersang dari mencintai-Mu
Agar Engkau yang Agung patut dicintai
Aku rasai dengan kalbuku
Supaya cinta dan kasihku kepada yang lain tidak membunuh jiwaku
Rasakanlah wahai Tuhan pada jiwaku
Engkau adalah cinta agungku